Lionel Messi hampir mencapai persetujuan untuk menyertai francais Liga Bolasepak Utama (MLS), Inter Miami, di penghujung musim Eropah 2022-23, menurut laporan The Times.

Kontrak pemain handalan kelahiran Argentina itu bersama Paris Saint-Germain (PSG) akan berakhir di penghujung kempen ini dan dia terus dikaitkan dengan kepulangan ke Barcelona ​​yang ditinggalkannya pada 2021, tetapi The Times melaporkan Messi sebaliknya akan berkelana ke MLS.

Inter Miami dikatakan 'yakin' Messi akan menandatangani sebaik berakhir kempen Piala Dunia di Qatar ketika ini di mana dia telah menemui sentuhan pemusnah dalam kedua-dua perlawanan peringkat kumpulan membabitkan Argentina.



Francais yang dimiliki David Beckham itu dilaporkan akan menjadikan Messi sebagai pemain yang menikmati bayaran tertinggi dalam sejarah MLS dan mereka sedang mempertimbangkan penambahan lanjut untuk melengkapkan ketibaannya.

Nama Luis Suarez dan Cesc Fabregas yang merupakan bekas rakan sepasukan Messi di Barcelona, ​​juga dipetik. Suarez sebelum ini menikmati tempoh kedua singkatnya bersama kelab Uruguay, Nacional, awal tahun ini sementara Fabregas beraksi dalam divisyen dua Itali, Como.

Perpindahan untuk Messi akan berlaku di pertengahan musim MLS -- membuka kempen baru pada Februari depan -- dan kehadirannya akan memberikan rangsangan besar kepada bola sepak Amerika Utara menjelang Piala Dunia 2026 yang menyaksikan Amerika Syarikat akan menjadi tuan rumah bersama Kanada dan Mexico.