Lionel Messi kembali menjalani latihan bersama Paris Saint-Germain (PSG) selepas digantung kerana pergi ke Arab Saudi tanpa kebenaran.

Kelab Ligue 1 itu mengesahkan di akaun Twitter rasmi mereka malam tadi bahawa pemain antarabangsa Argentina berusia 35 tahun tersebut sudah kembali bersama pasukan utama selepas dia didenda dan digantung kerana melakukan lawatan promosi ke negara Timur Tengah berkenaan tanpa kebenaran.

Pengumuman itu yang disertakan dengan gambar pemenang Piala Dunia tersebut menyarung seragam latihan dengan kapsyen: "Leo Messi kembali berlatih."

Messi, yang merupakan duta bagi Pihak Berkuasa Pelancongan Saudi dikesan berada di Riyadh sehari selepas pasukannya mengalami kekalahan mengejut kepada Lorient.

Dia kemudiannya mendedahkan dalam satu video yang disiarkan di akaun Instagram rasminya bahawa dia terpaksa ke sana atas sebab kontrak dan memandangkan dia pernah membatalkannnya sebelum ini dan ke sana selepas mengandaikan dia diberikan cuti.

Messi berkata: “Saya ingin menyiarkan video ini atas segala yang berlaku.



“Pertama sekali, saya ingin meminta maaf kepada rakan sepasukan saya dan kepada kelab. Sejujurnya, saya fikir kami akan diberi cuti selepas perlawanan, seperti yang berlaku dalam minggu-minggu sebelumnya.

“Saya ke Arab Saudi atas undangan yang sebelum ini terpaksa dibatalkan dan kali ini saya tidak dapat mengelakkannya lagi.

"Saya memohon maaf sekali lagi dan saya sedia menanggung kesannya daripada pihak kelab. Semoga semuanya baik-baik."