PSG 1 BREST 0

Paris Saint-Germain (PSG) tidak dapat mempamerkan aksi meyakinkan sewaktu mencatat kemenangan tipis 1-0 ke atas Brest dalam saingan Ligue di Parc des Princes lewat malam tadi tetapi Neymar sekali lagi muncul penyelamat pasukan itu.

Neymar menjaringkan satu gol dan mencipta dua peluang buat rakan sepasukannya sepanjang 90 minit.

Dia menjaringkan golnya yang ke 110 sepanjang menyarung jersi PSG untuk kini menduduki tangga keempat dalam senarai penjaring terbanyak sepanjang zaman kelab Paris itu.

Selepas kemenangan itu, pengurus PSG, Christophe Galtier, meluahkan rasa kagumnya terhadap komitmen Neymar bersama pasukan itu.

"Saya sentiasa menganggapnya sebagai antara pemain terbaik di planet ini tetapi saya kini lebih tahu dan melihat sendiri apa yang telah dikorbankannya setiap hari -- sebelum, sewaktu dan selepas sesi latihan.

"Jika dia baru sahaja menngatasi (rekod jaringan) Pauleta dan melalui permulaan musim yang amat baik, ia adalah kerana dia memberikan segala tumpuan dan konsentrasi terhadap pekerjaannya.

"Dia sedia berkorban secara peribadi tetapi turut berminat melakukannya secara berpasukan.

"Dia seorang yang amat profesional dan seorang atlet yang hebat.

"Saya mengenalinya setiap hari dengan hati yang gembira," katanya.

Secara keseluruhan, Neymar terlibat dengan 14 gol dalam saingan Ligue 1 muism ini, di mana dia menghasilkan lapan gol dan enam bantuan jaringan.