Terengganu FC bangkit daripada ketinggalan dua gol untuk mengikat Sabah FC 2-2 dalam perlawanan Liga Super di Stadium Likas sebentar tadi.

Tuan rumah membuka jaringan pada minit ke-28 apabila Telmo Castanheira menanduk masuk bola daripada sepakan percuma ketua pasukan, Baddrol Bakhtiar.

Sang Badak kemudian memperoleh sepakan penalti selepas pengadil mengesan bola terkena tangan pertahanan Terengganu dan Darren Lok tidak berdepan masalah untuk menyempurnakan peluang itu pada minit ke-37.

Bagaimanapun, Terengganu tidak memberikan ruang untuk Sabah berasa selesa dengan kelebihan dua gol, di mana Sony Norde sempat mengecilkan jurang jaringan itu menerusi tendangan bebas gemilangnya pada penghujung separuh masa pertama.

Ketika Sabah kelihatan akan meraih kemenangan ketujuh mereka musim ini, mereka sekali lagi dikejutkan dengan gol saat-saat akhir Sony Norde, juga menerusi satu lagi sepakan percuma gemilangnya dalam waktu kecederaan.



Sementara itu, aksi di Stadium Negeri Sarawak pula menyaksikan JDT menepati ramalan membenam Kuching City 4-0.

Pendahulu Anugerah Kasut Emas musim ini, Fernando Forestieri, muncul pemain paling cemerlang apabila menjaringkan gol berganda buat pasukan bimbingan Estaban Solari itu, masing-masing pada minit keempat dan 36.

Bergson Da Silva kemudian menambah satu lagi jaringan pada minit ke-70 sebelum Juan Muniz melengkapkan malam gemilang JDT dengan gol keempat berselang tiga minit.

Kemenangan itu menyaksikan pasukan juara bertahan berkenaan mengekalkan rekod bersih dengan 11 kemenangan daripada 11 perlawanan dan hanya dibolosi satu gol setakat ini.



Keputusan lain:
Kedah Darul Aman FC 5 Kelantan FC 0