TERENGGANU FC 1 SRI PAHANG FC 2

Sri Pahang FC meneruskan rekod tanpa kalah apabila menewaskan Terengganu FC 2-1 dalam aksi 'Derby Pantai Timur' Liga Super di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Kuala Terengganu sebentar tadi.

Kemenangan itu menyaksikan skuad bimbingan Fandi Ahmad berkenaan masih belum tewas dalam aksi liga musim ini untuk kini menduduki tangga ketiga dengan 22 mata selepas 10 perlawanan.

Jaringan Nor Azam Azih dalam babak kedua memastikan kemenangan pasukan Tok Gajah itu selepas Ivan Mamut memadamkan gol pembukaan Kpah Sherman dalam babak pertama.

Turun dengan momentum terbaik selepas memenangi tiga perlawanan liga terakhir, Sri Pahang jelas pasukan yang lebih berbahaya pada awal permainan dan gol pembukaan yang dicari mereka tiba pada minit ke-31 apabila Sherman bijak menghidup peluang daripada situasi kelam kabut di depan gawang Terengganu susulan sepakan percuma Stefano Brundo.

Bagaimanapun, kelebihan itu hanya bertahan selama lapan minit sebelum Terengganu kembali mengikat kedudukan hasil gerakan licik Ivan Mamut, yang meloloskan diri daripada perangkap ofsaid sewaktu menerima hantaran pendek Adisak Kraisorn sebelum menewaskan Izham Tarmizi Roslan.

Aksi dalam babak kedua menyaksikan suhu perlawanan terus hangat dengan aksi berbalas serangan dan Sri Pahang seharusnya berterima kasih kepada kecemerlangan Izham Tarmizi, yang menafikan siri percubaan berbahaya daripada Ivan Mamut dan pemain gantian Terengganu, Sony Norde.

Ketika Sang Penyu sedang galak merencanakan serangan demi serangan, kealpaan mereka dihukum apabila Nor Azam, yang menerima hantaran pendek Zuhair Aizat Nazri, memperdayakan Liridon Krasniqi sebelum melepaskan rembatan dari luar kawasan penalti untuk menewaskan Suhaimi Husin pada minit ke-68.

Terengganu terus melakukan asakan bertali arus ke arah kubu Sri Pahang menjelang ke penghujung perlawanan tetapi usaha mereka menemui jalan buntu, terutama dengan kecemerlangan Izham Tarmizi, yang kerap menjadi penghalang terakhir terhadap jaringan penyamaan mereka.



Keputusan lain:
NEGERI SEMBILAN FC 1 KEDAH DARUL AMAN FC 2
KELANTAN FC 2 PERAK FC 3