KUALA LUMPUR CITY FC 1 SRI PAHANG FC 2

Sri Pahang FC meraih kemenangan kedua daripada enam perlawanan musim ini selepas menewaskan Kuala Lumpur City FC 2-1 dalam perlawanan Liga Super di Stadium KLFA, Cheras sebentar tadi.

Gol daripada Nor Azam Azih dan Manuel Hidalgo dalam babak berbeza sudah cukup untuk menjadikan jaringan Paulo Josue pada lewat permainan sebagai gol sagu hati buat KL City, sekali gus dipintas Tok Gajah dalam carta Liga Super.

Nor Azam menghasilkan gol lencong gemilang dari jarak jauh susulan satu gerakan 'set-piece' yang dimulakan Hidalgo pada minit ke-32.

Sri Pahang kemudian memperoleh sepakan penalti dalam babak kedua selepas bola terkena tangan Declan Lambert dan Hidalgo tidak mensia-siakan peluang itu pada minit ke-78.

Ketua pasukan, Paulo Josue, merapatkan jurang buat KL City pada minit ke-86 tetapi ia ternyata sudah terlewat untuk menghalang kekalahan keempat mereka musim ini.

Dengan kemenangan itu, Sri Pahang melonjak ke tangga keenam liga dengan tujuh mata dan memintas KL City di tangga ketujuh dengan perbezaan jaringan biarpun Tok Gajah berkelebihan satu perlawanan dalam tangan.