Ketua jurulatih skuad Johor Darul Ta’zim (JDT), Estaban Solari, berpuas hati dengan aksi dipamerkan skuad kendaliannya itu biarpun sekadar menjaringkan dua gol ketika menumpaskan Sri Pahang FC 2-0 di Stadium Sultan Ibrahim semalam.

Menurut Solari, dua gol berkenaan sudah cukup memadai buat skuad Harimau Selatan itu meraih tiga mata berharga di laman sendiri ketika berdepan pasukan handalan seperti Tok Gajah.

“Hari ini satu perlawanan yang sukar buat kami dan kami memang mengambil serius mengenainya minggu ini.

“Sememangnya kami menghormati pasukan lawan kami dan di situlah kami akan cuba beraksi dengan sebaik mungkin bagi mencatatkan kejayaan.

“Ia berhasil kali ini...saya gembira bila kami menjaringkan gol pada minit-minit terakhir separuh masa pertama bagi menutup kegagalan kami menyempurnakan deretan peluang yang peroleh sebelum itu,” katanya.

Untuk rekod, gol sulung JDT dijaringkan penyerang import, Bergson Da Silva, dalam masa kecederaan separuh masa pertama sementara Fernando Forestieri pula menyumbat gol kedua pada minit ke-74 bagi memastikan skuad Harimau Selatan itu mengukuhkan lagi cengkaman di persada Liga Super dengan 36 mata hasil 12 kemenangan berturut-turut setakat ini.

Sementara itu, Solari mengakui skuad kendaliannya itu berdepan kesukaran menentang Tok Gajah, yang dibarisi ramai pemain tinggi, terutama di benteng pertahanan.

Katanya, keadaan itu menyaksikan pihaknya mengubah corak permainan bagi menembusi benteng pertahanan lawan.

“Memang sukar apabila bermain dengan pasukan yang memiliki ramai pemain yang tinggi dan ia turut menyukarkan kami melakukan serangan atau menjaringkan gol menerusi set-piece seperti sebelum ini.

“Bagaimanapun, kami berjaya mengubah tempo permainan agar sentiasa pantas kerana agak sukar untuk melepasi benteng pertahanan lawan dengan pemain-pemain yang tinggi,” katanya.

Kredit: Sinar Harian