Pemangku ketua jurulatih Selangor FC, Nidzam Jamil, mengakui keputusan 1-1 ketika menentang pendahulu Liga Super, Johor Darul Ta'zim (JDT), di Petaling Jaya semalam dapat melonjakkan semangat pemainnya untuk memburu kemenangan.

Kali terakhir pasukan Gergasi Merah itu mencatatkan kemenangan dalam saingan liga adalah ketika menewaskan Penang FC 2-0 di venue sama pada 16 Julai lalu.

Nidzam lega apabila percaturannya untuk menentang JDT kali ini berjalan seperti yang dirancang.

Pengendali berusia 42 tahun itu berharap penyokong Selangor dapat terus berada di belakang pasukan itu dalam usaha mereka untuk memperbaiki kedudukan bagi baki musim ini.

"Kami melalui beberapa minggu yang suram jadi kami memerlukan keputusan seperti ini," katanya dalam sidang media seperti yang dipetik Astro Arena.

"Kami memerlukan mata ini daripada JDT untuk meningkatkan kepercayaan dan keyakinan diri.

"Pasukan ini bukan mengenai saya, pasukan ini mengenai penyokong.

"Kami perlu bermain dengan baik dan mendapatkan keputusan yang baik agar dapat mengembalikan penyokong di belakang kami.

"Ia mengenai bagaimana untuk kami menyalurkan apa yang telah kami lakukan dalam latihan ke dalam perlawanan dengan prestasi yang baik.

"Jadi, saya percaya pemain telah melakukan yang terbaik untuk penyokong dan saya berharap dengan sikap yang baik ini, kami dapat membina keyakinan penyokong untuk kembali berada di belakang kami," katanya.

Aksi di Stadium petaling Jaya menyaksikan Bergson da Silva membuka jaringan menerusi sepakan penalti dalam babak pertama sebelum Herlison Caion menyamakan kedudukan dalam separuh masa berikutnya.

Keputusan seri itu, bagaimanapun, tidak menggugat kedudukan JDT di puncak Liga Super dengan himpunan 42 mata -- berkelebihan enam mata di depan pasukan di tangga kedua, Sabah FC -- manakala Selangor pula berada di tangga kelapan dengan hanya 17 mata daripada 16 perlawanan.