Selangor FC hari ini mengumumkan kedatangan pemain import baru dari Ghana, Rauf Salifu.

Berpengalaman beraksi dalam Liga MLS NEXT Pro di Amerika Syarikat, Rauf didatangkan bagi memperkuatkan jentera serangan pasukan Gergasi Merah itu menjelang saingan Liga Super 2023 bermula bulan depan.

Pemain yang berasal dari Accra, Ghana itu merupakan pemain utama kelab tempat kelahirannya, Accra Lions, dari 2018 hingga 2021, di mana dia menjaringkan 21 gol daripada keseluruhan 58 gol yang didaftarkan pasukan itu bagi musim 2020-21.

Pencapaian itu turut menyaksikan dia membantu Accra Lions ke Liga Perdana Ghana dari liga divisyen kedua negara berkenaan.

Penyerang berusia 21 tahun itu kemudian beraksi bersama Sporting Kansas City II di Amerika Syarikat, di mana dia turut mencatatkan sejarah sebagai pemain pertama menjaringkan empat gol dalam satu perlawanan Liga MLS NEXT Pro pada Julai lalu.

“Ini merupakan kali pertama saya berada di Asia. Cuaca di Malaysia lebih kurang di Ghana, jadi saya yakin ia akan membantu saya untuk cepat menyesuaikan diri di sini.

"Saya lihat Selangor FC mempunyai penyokong yang sangat ramai. Ia menjadi antara sebab saya memilih ke sini. Untuk itu, saya akan berusaha untuk membuatkan mereka bangga dengan kelab ini dan tidak mengecewakan mereka,” kata pemain itu dalam laman web rasmi Selangor FC.

Sebagai rekod, Salifu merupakan pemain baru kelima diperkenalkan Selangor FC musim ini selepas V. Ruventhiran, Khuzaimi Piee, Faisal Halim dan Noor Al-Rawabdeh.



Kredit foto: Selangor FC