SABAH 1 SARAWAK UNITED 0

Sabah FC terus memberikan tekanan buat Johor Darul Ta'zim (JDT) dalam kelompok teratas Liga Super selepas mengungguli 'Derby Borneo' dengan menewaskan Sarawak United 1-0 di Stadium Likas sebentar tadi.

Dengan kemenangan itu, Sabah hanya kekurangan satu mata di belakang pendahulu liga, JDT, meskipun Harimau Selatan berkelebihan dua perlawanan dalam tangan.

Aksi di Kota Kinabalu menyaksikan jaringan daripada pemain veteran, Baddrol Bakhtiar, menjadi pemisah di antara kedua-dua pasukan.

Beraksi di depan lebih 10,000 penyokong di laman sendiri, Sabah lebih dominan dalam separuh masa pertama dengan siri beberapa percubaan, antaranya menerusi tandukan Saddil Ramdani yang ditampan penjaga gol, Tauffiq Ar Rashid.

Jaringan yang ditunggu-tunggu Sang Badak akhirnya tiba pada minit ke-63 apabila Baddrol bijak mencari ruang untuk menanduk masuk lambungan Saddil, sekali gus memastikan Sabah mengekalkan reputasi selaku pasukan gergasi Borneo.

Pasukan bimbingan Datuk Ong Kim Swee itu seterusnya akan bertandang ke laman Kedah Darul Aman FC pada 17 Ogos ini manakala Sarawak United pula, yang kini sedang menduduki tangga ke-10 Liga Super, akan bertemu Terengganu FC pada Sabtu ini.



Keputusan lain:
SRI PAHANG FC 3 PETALING JAYA CITY FC 0
NEGERI SEMBILAN FC 3 PENANG FC 2