Ketua jurulatih Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee, mengakui pasukannya perlu menyalahkan diri sendiri apabila gagal beraksi baik sehingga tewas 0-2 kepada Kuala Lumpur City FC dalam perlawanan Liga Super di Stadium KLFA, Cheras semalam.

Kim Swee turut mengakui ketiadaan pemain import, Neto Pessoa, menjejaskan jentera serangan skuad Badak itu sehingga gagal menghasilkan sebarang jaringan.

Aksi di Cheras menyaksikan Sabah berdepan kekalahan kedua selepas lima perlawanan musim ini, di mana gol berganda daripada Romel Morales menjadi pemisah dalam perlawanan itu.

"Ia kesilapan kami sendiri, bukannya disebabkan pasukan lawan menunjukkan permainan yang lebih baik," katanya dalam sidang media seperti yang dipetik Astro Arena.

"Mereka (KL City) lebih berdisiplin, itulah yang lebih penting.

"Kami tewas kerana kesilapan daripada segi konsentrasi ketika sepakan percuma dan kelalaian yang menyebabkan kami dibolosi.

"Sudah tentu ketiadaan Neto mendedahkan kami kepada banyak kelemahan tetapi kami tidak boleh memikirkannya.

"Bagi saya, bukannya pasukan Kuala Lumpur menunjukkan permainan yang lebih baik tetapi dalam bola sepak, apabila kita berdisiplin dan memiliki taktikal yang baik, keadaan ini akan berlaku.

"Kami perlu bangkit kerana selepas ini kami mempunyai perlawanan-perlawanan yang lebih penting," katanya.