KUCHING CITY FC 1 SABAH FC 2

Sabah mengekalkan rekod kemenangan bersih sepanjang tiga perlawanan pertama Liga Super musim ini apabila menafikan kebangkitan Kuching City dengan kemenangan 2-1 dalam aksi 'Derby Borneo' di Stadium Negeri Sarawak sebentar tadi.

Gol daripada Telmo Castanheira dalam babak kedua sudah cukup untuk memastikan kemenangan Sang Badak selepas Abu Kamara memadamkan jaringan pembukaan Saddil Ramdani buat Sabah dalam babak sebelumnya.

Beraksi dalam keadaan padang berlecak selepas hujan, Sabah bagaimanapun lebih banyak menguasai awal permainan dan berhasil meletakkan diri mereka di depan pada minti ke-24 apabila Saddil bijak menghidu umpanan licik ketua pasukan, Park Tae-su, sebelum melakukan larian dalam kawasan penalti lawan dan melepaskan rembatan yang menewaskan Julian Schwarzer.

Kuching City kemudian memberikan respons terbaik mereka selepas jaringan itu dengan melakukan asakan bertali arus ke gawang lawan dan usaha yang dilakukan mereka membuahkan hasil pada penghujung separuh masa pertama, di mana Abu Kamara menerima hantaran akrobatik daripada Aylton Alemao sebelum melepaskan rembatan leret yang membolosi gawang Damien Lim.

Keputusan itu menyaksikan perlawanan menjadi lebih seimbang dalam babak kedua tetapi Sabah jelas lebih unggul apabila pasukan bimbingan Datuk Ong Kim Swee itu menemui jaringan kemenangan yang dicari-cari pada minit ke-58, di mana Telmo memanfaatkan situasi kelam-kabut di depan gawang Kuching City.