Sabah FC mahu mempamerkan kebangkitan selepas tewas kepada Johor Darul Ta'zim FC (JDT) minggu lalu menjelang perlawanan Liga Super menentang Kuala Lumpur City FC malam esok.

Sabah jelas tidak dapat menyaingi JDT ketika tewas 0-4 di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri minggu lalu.

Kekalahan itu turut menamatkan rekod tanpa kalah mereka sepanjang lima perlawanan pertama untuk kini menduduki tangga ketiga Liga Super dengan 13 mata.

Justeru, ketua jurulatih, Datuk Ong Kim Swee, mahu barisan pemainnya mempamerkan kebangkitan dalam perlawanan menentang KL City di Cheras.

"Banyak yang kami pelajari, di mana sebelum kami menentang JDT, kami bermain dengan agak baik," katanya kepada wartawan Astro Arena, Fina Nasrom.

"Tetapi apabila kami tewas kepada JDT, sudah pasti banyak kelemahan yang kami dapati dan daripada perlawanan itu juga, ia sudah pasti akan memberikan kami amaran agar tidak mengulangi kesilapan ataupun kekalahan dalam perlawanan yang akan kami lalui, terutama di tempat lawan.

"Kami perlu kekal fokus. Apa yang penting, kami tidak boleh mengambil mudah dan tidak boleh hilang fokus sepanjang perlawanan.

"Apabila berdepan pasukan yang tidak pernah menang, sudah tentu mereka akan berusaha bersungguh-sungguh.

"Jadi pasukan Sabah perlu bermain mengikut corak permainan kami dan perlu memikirkan cara untuk pasukan Kuala Lumpur tidak dapat melakukan banyak percubaan berbahaya," katanya.