SRI PAHANG FC 1 SABAH FC 2

Sabah FC meneruskan pemburuan gelaran naib juara Liga Super 2022 dengan menenewaskan Sri Pahang FC 2-1 di Stadium Darul Makmur, Kuantan sebentar tadi.

Dengan kemenangan itu, skuad Badak berkenaan kini menghimpunkan 42 mata dan mengekalkan kelebihan satu mata di atas pencabar terdekat, Terengganu FC, berbaki satu perlawanan musim ini.

Dalam aksi kali ini, kedua-dua pasukan buntu untuk memcahkan tembok pertahanan lawan sehinggalah tandukan Stiven Rodriguez -- susulan hantaran lintang menarik Baqiuddin Shamsudin -- menemui penjuru kanan atas gawang Khairul Fahmi Che Mat untuk meletakkan tuan rumah di depan pada minit ke-86.

Bagaimanapun, ketika kedudukan Sabah kelihatan akan tergelincir, Dominic Tan memulakan kebangkitan menarik pasukan Negeri di Bawah Bayu itu dengan menanduk masuk lambungan gemilang Saddil Ramdani pada minit ke-89.

Jaringan itu jelas membakar semangat skuad bimbingan Datuk Ong Kim Swee berkenaan untuk terus mengancam kubu lawan dan usaha yang dilakukan mereka itu ternyata berhasil apabila penjaring terbanyak, Park Tae-soo, menemui gol kemenangan dalam waktu kecederaan susulan satu situasi kelam-kabut di depan gawang Sri Pahang.

Keputusan lain:
Sarawak United 0 Selangor FC 1
Negeri Sembilan FC 2 Melaka United 0
Petaling Jaya City FC 2 Penang FC 0
Kuala Lumpur City FC 1 Terengganu FC 2
Johor Darul Ta'zim FC 4 Kedah Darul Aman FC 1