Perak FC sebentar tadi mengesahkan pemecatan ketua jurulatih pasukan utama kelab itu, Datuk Lim Teong Kim, berkuat kuasa serta-merta.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan kelab itu dalam laman Facebook rasmi mereka, The Bos Gaurus turut memaklumkan bahawa Yusri Che Lah akan bertindak sebagai ketua jurulatih interim buat masa ini.

Perak ketika ini sedang menduduki tangga ke-11 Liga Super dengan dua kemenangan, tiga keputusan seri dan tujuh kekalahan selepas 12 perlawanan.

Mereka menewaskan Kelantan FC 3-2 dalam perlawanan Liga Super pada 28 April lalu sebelum tewas 0-4 kepada Selangor dan yang terbaru, dikalahkan 1-3 di tangan Sabah FC kelmarin.

Kenyataan itu berkata: "Perak FC mengumumkan Datuk Lim Teing Kim tidak lagi bersama pasukan Liga Super berkuat kuasa serta-merta.

"Yusri Che Lah akan mengambil alih tugas sebagai ketua jurulatih sementara untuk masa terdekat.

"Kami mengucapkan terima kasih kepada Datuk Lim atas sumbangannya dan mendoakan yang terbaik untuk karier beliau pada masa hadapan."