SRI PAHANG FC 1 PENANG FC 0

Penang FC masih belum dapat menggugat rekod tanpa kalah Sri Pahang FC dalam saingan Liga Super musim ini apabila tewas tipis 0-1 di Stadium Darul Makmur, Kuantan sebentar tadi.

Gol sepakan penalti Kpah Sherman dalam babak kedua sudah cukup untuk menjadi pemisah kedua-dua pasukan itu, di mana Sri Pahang kekal tidak dikalahkan sepanjang 11 perlawan liga setakat ini.

Aksi sepanjang babak pertama berlangsung hangat dengan kedua-dua pasukan saling berbalas serangan tetapi tiada sebarang jaringan dapat disaksikan.

Bagaimanapun, usaha tanpa henti yang dilakukan Tok Gajah membuahkan hasil pada awal babak kedua apabila pengadil, Hasrol Amir, mendapati kapten Penang, Rafael Vitor, mengasari Kpah Sherman biarpun pertahanan itu kelihatan memenangi bola.

Kesempatan itu kemudian dimanfaatkan Sherman untuk menewaskan Azfar Arif pada minit ke-48, sekali gus menjadi gol tunggal perlawanan berkenaan.

Kemenangan itu turut menyaksikan pasukan bimbingan Fandi Ahmad itu melonjak ke tangga kedua liga, sekurang-kurangnya sehingga tamat perlawanan Selangor menentang Perak di Ipoh malam ini.