Perlawanan Liga Super tunggal hari ini menyaksikan kelab yang berada di tangga tercorot, Kelantan United, gagal merealisasikan hajat besar mereka ketika bertandang ke laman PDRM FC, sebentar tadi.

Perlawanan di atas becak Stadium MBPJ itu sedikit pun tidak mengganggu-gugat momentum kedua-dua pasukan untuk cuba mendapatkan mata penuh terutama Kelantan United yang belum memperoleh kemenangan musim ini.

Namun, anak-anak buah Tomas Trucha itu -- khabar angin mengaitkan Frank Bernhardt mungkin menggantikan peranannya -- tersentak seawal minit ke-10 apabila Dzulfahmi Hadi memanfaatkan peluang terbuka di depan pintu gol pelawat.

Kedua-dua pasukan cuba untuk meneruskan asakan dan mendapatkan gol, sebelum penyerang import menentang Sang Saka Biru, Uche Agba, meledak gol kedua perlawanan menerusi sepakan penalti pada minit ke-38 setelah dia dikasari penjaga gol Kelantan United, Asyraaf Omar.

Walaupun ada usaha dilakukan kedua-dua pasukan dalam babak kedua, tetapi masih buntu untuk tambahan jaringan.