Ketua jurulatih Kedah Darul Aman FC, Nafuzi Zain, berkata dia lebih gusarkan pertemuan dengan Kelantan FC berbanding Selangor FC.

Ini selepas pasukan bimbingannya itu mencatatkan kemenangan besar 5-0 ke atas The Red Warriors dalam aksi liga di Stadium Darul Aman semalam.

Sang kenari seterusnya akan berdepan pesaing kelompok atasan Liga Super, Selangor, pada Rabu ini tetapi Nafuzi menegaskan bahawa dia tidak berasa gusar dengan cabaran itu kerana menganggap aksi berdepan Kelantan lebih berbahaya.

"Saya lebih risaukan perlawanan menentang Kelantan berbanding Selangor kerana berdepan pasukan di tangga bawahan seperti ini, ia merupakan sesuatu yang lebih sukar," katanya dalam sidang media seperti yang dipetik wartawan Astro Arena, Karl Nunis.

"Cara saya sememangnya bola sepak menyerang dan dengan meletakkan Amirul Hisyam (Awang Kechik) di tengah dan Lee Tuck di sebelah kiri, saya rasa kedua-dua pemain ini bermain dengan baik.

"Strategi yang saya terapkan adalah berdasarkan kualiti yang dimiliki pemain saya.

"Saya menterjemahkannya dengan apa yang saya ada," katanya.

Dalam aksi di Alor Setar itu, Kedah memperoleh lima jaringan daripada lima penjaring gol berbeza, iaitu Manuel Ott (m-16), Lee Tuck (m-28), Manuel Hidalgo (m-47), Willian Lira (m-61) dan Jonathan Balotelli (m-89).