Ketua jurulatih KL City, Miroslav Kulyanak, tiada masalah untuk menggalas tanggungjawab membimbing pasukan ibu kota itu walaupun kehilangan ramai pemain utama.

Meskipun persiapan menjelang saingan musim baru kelihatan agak lewat berbanding pasukan lain, namun ia tidak menjadi kekangan buat jurulatih berbangsa Croatia itu .

"Walaupun kami bermula dengan agak lewat, kami masih mempunyai baki lapan minggu untuk melakukan persiapan sepenuhnya.

"Setakat ini, semuanya berjalan dengan lancar seperti yang diharapkan. Semua pemain memberikan komitmen dan kerjasama yang baik," katanya apabila ditemu bual oleh wartawan Astro Arena, Fatin Syazwani.

KL City akan memulakan kempen saingan Liga Super bertemu Kuching City pada 12 Mei, disusuli dengan pertemuan menentang Johor Darul Ta'zim (JDT), pada 25 Mei nanti.