Kapten Kedah Darul Aman, Manuel Ott, enggan sekali lagi dikecewakan pasukan bawahan ketika melayan kunjungan Kelantan FC esok.

Situasi itu bagaikan dejavu buat dirinya yang masih terkesan dengan kekalahan kepada PDRM di awal musim ini.

Justeru perancang tengah itu mengingatkan rakan sepasukannya untuk sentiasa waspada ancaman skuad kendalian Frank Bernhardt itu.

"Kami melayani semua lawan dengan penuh hormat dan memberikan tumpuan kepada permainan yang mahu kami pamerkan. Bertemu Kelantan, semua pemain akan bersedia dan berusaha untuk mendapatkan tiga mata penuh," katanya.

Manuel juga mengakui gandingannya bersama Amirbek Juraboev di jentera tengah semakin menjadi perhatian pasukan lawan.

Dan ini menyukarkannya untuk menjadi nadi kepada permainan 'Nafuzi ball'.

Merasakan ia sebagai satu cabaran besar, Manuel sudah mengkaji kelemahan skuad yang berpangkalan di Pantai Timur itu, sekaligus sedia membantu Kedah meraih kemenangan ketujuh musim ini.