Pembantu jurulatih Kedah Darul Aman FC, Victor Andrag, mengucapkan syabas kepada barisan pemainnya yang bertungkus-lumus merakam kemenangan 3-2 ke atas Kelantan United.

Bekas ketua pasukan Sang Kenari itu mengakui anak buahnya turun dengan keyakinan rendah menjelang sepak mula di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV, sebentar tadi.

Ia berikutan dua kejutan ketika tunduk kepada PDRM FC selain disingkirkan seteru jiran, Penang FC, dalam pusingan awal Piala FA minggu lalu.

"Sebenarnya pujian buat pemain.

"Selepas dua kekalahan dan tidak kutip mata, sudah tentu fokus pemain terganggu tapi kami mahu pastikan pemain lebih fokus dalam perlawanan ini sepanjang 90 minit.

"Walaupun masih ada beberapa kepincangan, kami masih mampu untuk bangkit.






"Dalam keadaan Kelantan United pada suatu ketika (melancarkan) asakan bertubi-tubi tapi kami masih mampu bertahan.

"Pujian kepada Kedah dan tahniah kepada Kelantan kerana beri satu saingan sengit.

"Saya harap pemain membawa satu semangat ke padang dalam keadaan baik.

"Saya harap cuti sehari dua ini pemain akan pulih sepenuhnya," katanya yang mengambil peranan ketua jurulatih, Nafuzi Zain, yang menjalani penggantungan.