Ketua jurulatih Terengganu FC, Tomislav Steinbruckner, mengakui keputusannya untuk menandatangani pemain naturalisasi negara, Liridon Krasniqi, adalah kerana ia merupakan satu keperluan untuk skuad Peteh itu mengharungi cabaran Liga Malaysia musim ini.

Liridon diumumkan secara rasmi sebagai pemain baru Terengganu dengan kontrak pinjaman setahun daripada Johor Darul Ta'zim FC (JDT).

Pengendali kelahiran Croatia itu turut mengesahkan bahawa pemain tengah berkenan kini sudah bersama Terengganu bagi menjalani aksi pramusim di Bangkok, Thailand.

"Dia telah memulakan latihan bersama kami semalam dan saya berharap dia akan memperkuatkan pasukan kami," katanya kepada wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam.

"Saya sudah sebulan bersama pasukan ini dan hampir separuh daripada seluruh pasukan saya merupakan pemain baru.

"Saya jurulatih baru, jadi keperluannya mungkin berbeza berbanding sebelum ini.

"Kami perlu saling memahami sesama sendiri dan apa yang saya dapat lihat, pasukan kami kekurangan seorang pemain tengah menyerang yang boleh mencipta lebih bahaya dan peluang di depan gawang lawan, yang boleh membuat hantaran terakhir buat penyerang dan pemain sayap kami, juga menjaringkan gol.

"Saya fikir Liridon mampu mengisi kekurangan pasukan saya berdasarkan elemen yang saya mahukan," katanya.

Terengganu akan memulakan saingan Liga Super 2023 dengan bertandang ke laman Johor Darul Ta'zim FC (JDT) bagi perlawanan Sumbangsih pada 24 Februari ini.