Ketua jurulatih Kedah Darul Aman (KDA) FC, Nafuzi Zain, mengakui beberapa kesilapan yang dilakukan pemainnya menjadi punca kekalahan 2-3 kepada Selangor dalam aksi Liga Super di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Kelana Jaya semalam.

Menurutnya, gol yang dijaringkan oleh Selangor semuanya berpunca daripada kesilapan pertahanan Kedah walaupun mendahului dua kali dalam perlawanan itu.

"Pertahanan kami kena banyak perbaiki. Walaupun kami bermain dengan baik, serangan pihak lawan menyebabkan mereka ada peluang untuk jaringkan gol.

"Gol yang dijaringkan Selangor juga atas kesilapan yang tidak sepatutnya berlaku.

"Namun, secara keseluruhan, saya berbangga dengan persembahan 90 minit pemain. Walaupun kami ketinggalan dan kekurangan pemain, kami telah mencuba. Daripada segi persembahan, kami tak sepatutnya kalah, cuma kami dihukum dengan kesilapan sendiri," katanya dalam sidang media selepas perlawanan itu.

Dalam perlawanan itu, Amirbek Juraboev terlebih dahulu meletakkan KDA FC di depan pada minit keenam sebelum Ayron del Valle menyamakan kedudukan pada minit ke-23.

Willian Lira kembali meletakkan pasukan Utara itu di depan pada minit ke-28 dan Faisal Halim kemudian memadam kelebihan itu lima minit sebelum separuh masa pertama.

Noor Al Rawabdeh menjadi wira Selangor dengan gol kemenangan pada minit ke-78 untuk memastikan pasukan Gergasi Merah itu berada di kedudukan kedua liga dengan 28 mata.

Sementara itu, pemain muda Selangor, Mukhairi Ajmal Mahadi, kembali mendapat keyakinan selepas membantu kemenangan Gergasi Merah.

Pengendali Selangor FC, Tan Cheng Hoe, mengharapkan persembahan yang ditunjukkan pemain tengahnya itu akan terus konsisten dalam perlawanan akan datang.

"Dalam dua perlawanan terakhir, dia telah menjadi kapten, mengetuai pasukan dan bermain dengan baik tetapi kadang-kadang ada kesilapan dan ia adalah sebahagian daripada perlawanan.

"Dia sudah meningkatkan prestasinya dan saya harap dia akan terus fokus untuk perlawanan akan datang nanti," katanya.

Sebelum ini, Cheng Hoe mendedahkan beberapa pemain muda Selangor, termasuk Mukhairi, yang pulang daripada Sukan SEA di Kemboja baru-baru ini, berdepan masalah motivasi selepas tersingkir awal di peringkat kumpulan.

Cheng Hoe berkata barisan staf kejurulatihan dan pemain senior perlu membantu pemain muda berkenaan untuk mendapatkan semula keyakinan.

Dalam pada itu, Cheng Hoe menyifatkan pemainnya telah memberikan persembahan sehabis baik ketika menewaskan Kedah.

"Dalam perlawanan ini, pemain menunjukkan perwatakan dan semangat juang yang tinggi. Sudah pasti pujian harus diberikan kepada semua pemain.

"Sebagai jurulatih, saya lihat ini adalah salah satu permainan terbaik kami tunjukkan dan bukan mudah untuk menang kerana Kedah juga bermain dengan baik," katanya lagi.

Kredit: Sinar Harian