KELANTAN UNITED 2 KDA 3

Kedah Darul Aman pulang dengan mata penuh selepas pemain gantian, Al-Hafiz Harun, muncul wira ketika menundukkan Kelantan United dalam perlawanan keempat Liga Super, sebentar tadi.


Sepakan penalti yang disempurnakan Yan Victor dalam pertemuan di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV itu pada minit ke-88 belum cukup untuk tuan rumah melengkapkan kebangkitan.

The Red Warriors berada di depan pada minit ke-21, juga menerusi pemain import dari Brazil, Devid Silva, melalui sentuhan klinikal sebelum jaringan William Lira dan sepakan penalti Manuel Hidalgo pada minit ke-34 dan 45 menutup separuh masa pertama.

Tempo permainan makin rancak yang menyaksikan Kedah Darul Aman mengatur sembilan sepakan penjuru tetapi Kelantan United tidak berputus asa termasuk daripada usaha ketua pasukan, Indra Putra Mahayuddin.

Namun, kelekaan di bahagian benteng yang gagal menyekat larian Lee Tuck memberi ruang untuk Al-Hafiz menyudahkan lariannya dengan jaringan ketiga Sang Kenari pada minit ke-79, seterusnya memanjat ke tangga keempat Liga Super.


"Dalam tiga perlawanan, penyokong nampak detik teruja di depan gol. Saya bangga dengan pemain sebab berjuang dan mempamerkan karakter.



"Kami hampir mengikat Selangor dan Kedah Darul Aman. Kami juga patut menang ke atas Perak.

"Saya percaya kami mampu menang. Saya nampak prestasi pemain mula meningkat serta mula memahami antara sama lain dan percaya memerlukan satu lagi perlawanan untuk melakar kemenangan (bertemu PDRM Sabtu ini).

"Saya tidak panik dan kami menuju ke arah yang tepat," kata ketua jurulatih Kelantan United, Tomas Trucha, selepas perlawanan.