Ketua jurulatih Sri Pahang FC, Fandi Ahmad, mengakui dia kini memiliki lebih pilihan pemain menjelang aksi pembukaan Liga Super menentang Kelantan Darul Naim (KDN) di Stadium Temerloh malam esok.

Dalam Nadi Bola Khas Latihan Pasukan yang dibawakan oleh Extra Joss sebentar tadi, Fandi turut memaklumkan barisan pemainnya kini memiliki keupayaan teknikal yang lebih baik.

"Dalam seminggu terakhir ini agak lumayan, nampak permainan pasukan sudah kompak dan pemain nampak serasi sesama mereka," katanya kepada wartawan Astro Arena, Fadhirul Shuhaimi.

"Kami kini ada lebih sedikit pilihan pemain berbanding musim lalu, jadi agak susah juga untuk memilih kesebelasan.

"Saya rasa musim ini kami memiliki ramai pemain dengan kemahiran teknikal yang lebih baik berbanding musim lalu.

"Musim lalu memang kekurangan kemahiran teknikal tetapi mereka bekerja keras.

"Tahun ini, kami memiliki ramai pemain teknikal dan pemain yang jenis berfikir (strategi) dan ia amat penting untuk kami.

"Ia agar kami dapat mendominasi penguasaan bola dan tidak perlu selalu mengejar (bola). Ia sedikit kelebihan buat kami," katanya.