Ketua jurulatih Kelantan FC, Choi Moon-sik, mendedahkan hilang fokus menjadi punca utama pasukannya tumpas 1-2 di tangan Kuching City FC dalam perlawanan Liga Super di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu semalam.

Moon-sik berkata selepas merobek kubu pelawat, barisan pemainnya dilihat 'hilang arah' sehingga gagal beraksi dengan baik.

"Keputusan itu mengecewakan. Kelebihan beraksi di laman sendiri perlu dimanfaatkan sebaik mungkin tetapi sebaliknya berlaku.

"Berpandukan kepada keputusan itu, saya sudah mengenal pasti beberapa aspek baik dan yang perlu diperbaiki untuk perlawanan selepas ini," katanya ketika ditemui selepas tamat perlawanan itu.

Menurutnya, kesempatan yang ada akan dimanfaatkan sebaik mungkin untuk memperbetulkan kesilapan bagi memastikan keputusan lebih baik dapat dilakar selepas ini.

Ujarnya, kekalahan di tangan Kuching City itu tidak menggugat sasaran The Red Warriors (TRW) untuk berada dalam kelompok 10 pasukan terbaik musim ini.

Bekas pemain Piala Dunia Korea Selatan 1996 itu berkata beberapa pemain import baru yang masih belum melaporkan diri merencatkan sedikit perancangannya.

"Selepas mereka semua menyertai pasukan, kami akan tampil lebih baik selepas ini," katanya.

Sementara itu, pengendali Kuching City, Irfan Bakti Abu Salim, memuji semangat yang diperagakan oleh barisan pemainnya ketika bangkit untuk melakarkan kemenangan walaupun ketinggalan pada satu ketika.

Ujarnya, kemenangan itu merupakan satu permulaan baik buat Kuching City kerana kebiasaannya, perlawanan pembuka tirai akan berkesudahan dengan keputusan seri.

Dalam perlawanan itu, Kelantan FC, yang beraksi di laman sendiri, terpaksa menunggu sehingga minit ke-51 untuk membuka tirai jaringan menerusi rembatan Miguel Cifuentes.

Bagaimanapun, Kuching City FC bangkit melakar kemenangan menerusi jaringan Abdallah Sudi dan Abu Kamara, masing-masing pada minit ke-59 dan minit ke-71.

Kredit: Sinar Harian