Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Liga Bolasepak Malaysia (MFL), Stuart Ramalingam, mengesahkan kedudukan 14 pasukan yang bakal mewarnai kancah Liga Super untuk musim 2023.

Ia rentetan keputusan UiTM FC untuk menarik diri, selain usaha penukaran pemilikan Petaling Jaya City tidak berlangsung dengan baik.

Ketika ada individu cuba untuk mengambil alih kelab Lembah Klang itu, kedudukan kewangan syarikat terlibat dilihat meragukan dan MFL enggan mengambil sebarang risiko.

"Proses pengambilalihan PJ City sudah bermula sebulan yang lalu tapi bagi proses dalaman (di pihak) MFL adalah perlu diperincikan kerana kami mahu mengelak sebarang isu berbangkit pada musim depan," katanya di pejabat badan pengelola itu.

Ia akan diumumkan secara rasmi sebaik mendapat pengesahan ahli lembaga pengarah MFL.

"Kami tidak rasa situasi ini adalah perkara negatif.

"Sebaliknya antara proses untuk menstabilkan liga untuk pastikan kekuatan liga kita adalah berasaskan pasukan yang bertanding.

"Walaupun Liga Super mungkin dianjurkan dengan 14 pasukan sahaja tapi kami dalam proses memastikan format Liga Super pada tahun ini diterima dengan baik," katanya lagi.