NEGERI SEMBILAN 0 JOHOR DARUL TA'ZIM 1

Fernando Forestieri menjaringkan gol jarak jauh gemilang pada minit terakhir waktu kecederaan untuk memastikan Johor Darul Ta'zim (JDT) meraih kemenangan dramatik 1-0 ke atas Negeri Sembilan FC di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi sebentar tadi.

Kemenangan itu turut memastikan JDT kembali memintas skuad Jang berkenaan di tangga teratas Liga Super dengan 15 mata, satu mata mengatasi pencabar terdekat itu biarpun Harimau Selatan memegang kelebihan dua perlawanan dalam tangan.

Penjaga gol Negeri Sembilan, Syihan Hazmi Mohamed, beraksi cemerlang menafikan setiap percubaan yang dilakukan JDT sepanjang 90 minit tetapi tambahan masa 10 minit yang diberikan pengadil mengubah keseluruhan cerita di Paroi.

Dengan laungan semangat "hobin Jang hobin" dari segenap tempat duduk penyokong, Negeri Sembilan beraksi dengan semangat luar biasa sejak dari awal permainan dan hampir memecahkan kebuntuan menerusi sentuhan Nasrullah Haniff Johan yang tersasar selepas menerima bola daripada sepakan sudut.

JDT kemudian merencanakan siri percubaan berbahaya, antaranya menerusi peluang yang dimiliki Arif Aiman Hanapi dan Bergson, tetapi kerap dikecewakan oleh Syihan Hazmi dan barisan benteng Negeri Sembilan.

Rentak sama dibawa kedua-dua pasukan dalam babak kedua, di mana Negeri Sembilan lebih memilih untuk bertahan dan menanti peluang serangan balas.

Ketika kedua-dua pasukan kelihatan akan berkongsi mata menjelang penghujung 90 minit waktu sebenar, pengadil, Nazmi Nasaruddin, mengambil keputusan untuk melanjutkan perlawanan dengan 10 minit waktu kecederaan -- satu keputusan yang dilihat tidak disenangi oleh ketua jurulatih tuan rumah, K. Devan.

Kesempatan itu dimanfaatkan sepenuhnya JDT untuk memburu gol kemenangan dan Forestieri, pada minit ke-101, melepaskan satu rembatan lambung yang menuju tepat ke penjuru kanan atas gawang Syihan Hazmi.



*Kredit foto: Johor Southern Tigers


Keputusan lain:
Liga Super:
Sri Pahang 1 Sarawak United 2

Liga Perdana:
Skuad Projek FAM-MSN 0 Perak FC 1