Sekalipun mempamerkan permulaan positif, realitinya wujud kegusaran di kem Sri Pahang yang terlalu bergantung harap penyudah Kpah Sherman sepanjang tiga perlawanan awal Liga Super musim ini.

Menjelang satu lagi ujian sukar bertemu Sabah FC malam esok, ketua jurulatih Tok Gajah, Fandi Ahmad, menyematkan aura Stadium Darulmakmur sebagai azimat sperjuangan anak buahnya.

"Kami akan bermati-matian apabila bermain di tempat sendiri untuk mendapatkan mata penuh.

"Tapi (cabaran) kali ini lebih berat apabila akan berdepan Sabah.

"Mereka belum kalah setakat ini dan banyak menang di tempat lawan. Mereka juga mempunyai pemain seperti Darren Lok, Saddil Ramdani dan tonggak import baru.

"Formasi mereka sangat mantap tapi kami lebih perlu merisaukan diri sendiri untuk mencetak gol.

"Kami ada banyak peluang tapi kekurangan penjaring.

"Mudah-mudahan kali ini Kpah, Nor Azam Azih dan Baqiuddin Shamsudin dapat buka peluang lagi untuk cetak gol," katanya.

Skuad Tok Gajah kini mengumpul lapan gol daripada tiga aksi Liga Super yang menyaksikan lima penjaring berbeza.





Tetapi Fandi menjangkakan persefahaman lebih jitu dipamerkan terutama di bahagian serangan yang diterajui Sherman yang baru meledak satu gol ketika menang 4-1 ke atas Kelantan FC.

"Kami tidak harapkan Kpah sahaja. Yang penting dia buka pertahanan dan rakan yang lain yang mencetak jaringan.

"Fizikalnya agak kuat dan dia ada kepintaran untuk buat hantaran kepada rakan sepasukan.

"Yang penting rakan-rakan di samping buat larian untuknya. Nampaknya Nor Azam sudah mula selesa dengan peranannya.

"Nor Azam dan Baqiuddin sangat penting buat kami selain mudah-mudahan Sergio Aguero mengatasi kecederaan ringannya," katanya.