Ketua jurulatih Negeri Sembilan, K Devan, yakin moral pasukannya tidak berterusan dipalit kekecewaan selepas kekalahan besar kepada Johor Darul Ta'zim (JDT) FC, malah optimis anak buahnya mampu bangkit ketika menentang Kuala Lumpur City FC.

Barisan kendaliannya diaibkan 0-7 dalam pertembungan Liga Super, Isnin lalu.

Begitupun, Devan menuntut pasukannya agar tidak lagi mensia-siakan peluang beraksi di laman sendiri kerana ia dianggap satu kerugian besar sekiranya gagal mengutip mata di Stadium Tunku Abdul Rahman, Paroi.

"Kami bermain baik dalam dua perlawanan terdahulu yang menyaksikan kami mengutip mata. Kami seri dengan Sri Pahang dan berjaya meraih satu mata di Penang.

"Wlaupun belum menang, saya sudah nampak kestabilan dalam permainan selain bertemu JDT.

"Kalau kami boleh menjaringkan gol dan bertahan dengan baik, kami mampu mencapai kemenangan pertama," katanya dalam persiapan terakhir hari ini.

Dalam perkembangan sama, Devan terus berharap agar semua pihak terutama penyokong skuad Jang bersabar dan memberikan ruang kepada mereka untuk memperbaiki prestasi dan persembahan pasukan.

Selepas tiga perlawanan, Negeri Sembilan kini menghuni kedudukan ke-12 Liga Super hasil dua keputusan seri serta tewas sekali.