Ketua jurulatih Kedah Darul Aman (KDA) FC, Nafuzi Zain, menjangkakan satu cabaran sengit akan dihadapi pasukannya apabila menerima kunjungan Sabah FC dangan saingan Liga Super di Stadium Darul Aman malam esok.

Menurutnya, Sang Kenari, yang mahu menebus kekecewaan selepas tewas tipis 3-2 kepada Selangor FC dalam aksi Liga Super 24 Mei lalu, mendambakan tiga mata penting iyu untuk membantu mereka kekal dalam kelompok atasan liga.

"Jika kami menyudahkan pusingan pertama liga di tangga keempat, ia satu tahap yang baik buat kami bagi meneruskan aksi dalam pusingan kedua liga selepas ini," katanya ketika mengulas mengenai aksi Liga Super ke-13 itu.

Sabah FC kini berada di tangga keempat dengan 24 mata berbanding Kedah dengan 22 mata di tangga kelima selepas 12 perlawanan.

Jelasnya, Sabah FC pastinya juga mahu mencari penawar duka selepas disingkirkan oleh Kuala Lumpur City FC daripada saingan Piala FA baru-baru ini.

"Sabah mempunyai kualiti pemain yang berada di tahap terbaik daripada segi pemain tempatan seperti Baddrol Bakhtiar mahupun import berpengalaman.

"Jika mahu membandingkan dengan Kedah, saya menjangkakan satu cabaran cukup sengit bakal kami hadapi kali ini," ujarnya lagi.

Tambahnya, kelebihan beraksi di laman sendiri perlu dimanfaatkan oleh Sang Kenari sebaik mungkin untuk mendapatkan mata penuh.

"Pemain perlu beraksi dengan lebih baik dan berkeyakinan, tambahan pula kami akan beraksi di depan lebih ramai penyokong sendiri yang akan meniupkan semangat ketika beraksi," katanya lagi.

Kredit: Sinar Harian