Ketua jurulatih Johor Darul Ta'zim (JDT), Hector Bidoglio, mengakui juara bertahan Liga Super itu gagal memberikan aksi terbaik sehingga terikat 1-1 dengan Selangor FC di Petaling Jaya semalam.

Katanya, corak permainan Selangor yang tidak membenarkan pasukannya untuk selesa menguasai bola, menjadi punca mereka tidak dapat mempamerkan permainan sebenar.

Bagaimanapun, dia percaya Harimau Selatan masih berada di landasan terbaik untuk meraih gelaran Liga Super buat kali kesembilan berturut-turut musim ini.

"Hari ini, kami berdepan kesukaran kerana kami tidak dapat menguasai bola dan tidak dapat bermain dengan cara kami," katanya dalam sidang media seperti yang dipetik Astro Arena.

"Jadi, saya fikir ia adalah sebab utama kami tidak dapat bermain seperti kebiasaan.

"Apapun, kami masih berada di landasan yang betul dan pemain sudah bekerja dengan amat-mata keras, jadi kami perlu meneruskannya dan tidak boleh patah semangat dengan keputusan ini.

"Kami perlu terus berusaha dan berjuang untuk memenangi gelaran ini," katanya.

Aksi di Stadium petaling Jaya menyaksikan Bergson da Silva membuka jaringan menerusi sepakan penalti dalam babak pertama sebelum Herlison Caion menyamakan kedudukan dalam separuh masa berikutnya.

Keputusan seri itu, bagaimanapun, tidak menggugat kedudukan JDT di puncak Liga Super dengan himpunan 42 mata -- berkelebihan enam mata di depan pasukan di tangga kedua, Sabah FC -- manakala Selangor pula berada di tangga kelapan dengan hanya 17 mata daripada 16 perlawanan.