Ketua jurulatih PDRM FC, Azzmi Aziz, mahu pasukannya melupakan kemenangan ke atas Kedah Darul Aman FC dalam saingan Liga Super, Sabtu lalu.

Ini kerana dia mahu anak buahnya fokus mempersiapkan diri menjelang tandangan mereka ke laman Terengganu FC, Sabtu ini.

Pengendali berusia 47 tahun itu juga mengakui berasa lega apabila mendapatkan kembali khidmat tonggak tengah kelahiran Myanmar, Kyaw Min Oo, yang sebelum ini terpaksa direhatkan kerana kecederaan betis.

Biarpun sedang menduduki tangga keenam Liga Super selepas tiga perlawanan, Azzmi tetap menganggap pasukannya sebagai bukan pilihan menentang lawan di tangga tercorot liga, Terengganu.

"Sudah pasti kami tidak boleh berpuas hati. Ia baru perlawanan ketiga dan perjalanan kami masih jauh," katanya kepada Astro Arena.

"Saya sendiri masih berharap pasukan ini akan meningkat dengan lebih baik kerana kita tahu lawan kami dalam Liga Super ini bukan calang-calang pasukan dengan perbelanjaan yang dikeluarkan mereka.

"Kita tahu Terengganu mempunyai sejarah tersendiri dan dengan barisan pemain yang mereka ada ketika ini, kami tidak boleh mengambil mudah.

"Kami sedar kami akan ke sana selaku pasukan bukan pilihan dan akan tetap dengan pendirian itu.

"Cuma apa yang kami nampak, mereka agak bergelut sepanjang tiga perlawanan ini dan kami tetap perlu berhati-hati, sama seperti perlawanan kami menentang Kedah tempoh hari," katanya.