Kekalahan di tangan Jordan pada perlawanan persahabatan tier 1 tempoh hari di Stadium King Abdullah II, Amman, Jordan bukan sesuatu perkara yang mengejutkan. Itu memang telah dijangkakan dan realistiknya kita perlu akui bahawa Jordan adalah sebuah pasukan yang hebat kerana ketika ini Jordan menduduki ranking ke-93 dunia. Selain itu kita boleh melihat sendiri bagaimana kualiti pemain-pemain Jordan yang mempunyai keupayaan teknikal yang jauh lebih baik dan mempunyai kecerdikan dalam membuat keputusan-keputusan yang tepat ketika melakukan gerakan serangan atau bertahan.

Itu yang dapat membezakan di antara pemain-pemain Malaysia dan Jordan. Kita boleh menilai sendiri bagaimana pemain-pemain muda Jordan seperti penjaring utama mereka iaitu Ali Olwan dapat menunjukan kematangan dirinya di atas padang di mana beliau menunjukkan keyakinan diri yang tinggi apabila bermain di peringkat antarabangsa dan begitu memahami tentang taktikal dan strategi yang di rancang jurulatihnya Adnan Hamad serta menunjukan komunikasi yang baik bersama rakan sepasukannya walaupun usianya masih muda.

Kenapa semua ini boleh berlaku kepada pemain-pemain Jordan? Sedangkan liga di Malaysia juga dijalankan secara professional sebagaimana di Jordan. Sudah pasti ada yang membezakannya, dimana pemain-pemain Jordan ini telah didedahkan dengan perlawanan-perlawanan kompetitif diperingkat akar umbi dan remaja lagi. Selain daripada itu pada 2014 Persatuan Bolasepak Jordan (JFA) juga telah bekerjasama dengan Persatuan Bolasepak Jepun (JFA) bagi membangunkan bola sepak Jordan. Itulah usaha yang dilakukan Jordan FA untuk memajukan bola sepak mereka dengan memberi tumpuan pada pembangunannya.

Ia sepatutnya juga dilakukan FAM, dimana perlu menganjurkan lebih banyak pertandingan di peringkat akar umbi supaya pemain-pemain muda dapat didedahkan dengan persaingan yang lebih kompetitif dan mengumpul minit permainan supaya mereka dapat meningkatkan keyakinan serta memahami falsafah bola sepak Malaysia. Masih tidak terlewat bagi FAM mengerakkan bahagian pembangunan untuk mengarahkan ahli-ahli gabungan FAM untuk sama-sama membantu menganjurkan pertandingan akar umbi peringkat elite. Dengan itu ia dapat membantu meningkatkan kualiti dan keyakinan pemain-pemain muda selain membangunkan bola sepak negara kita. Melalui cara ini sahaja akan dapat membantu meningkatkan mutu bola sepak Malaysia pada masa hadapan.