VITESSE 1 SPURS 0

Nuno Espirito Santo menegaskan fokusnya adalah untuk meningkatkan prestasi pemain muda Tottenham selepas mereka tumbang 0-1 di Vitesse di Liga Persidangan Europa, awal pagi tadi.


Sentuhan penyudah Maximilian Wittek dalam separuh masa kedua sudah cukup untuk skuad kendalian Thomas Letsch itu mendominasi Spurs yang hanya menang dua daripada lapan perlawanan terakhir mereka di peringkat Eropah.

Voli kaki kiri pemain tengah itu juga mengakhiri pencapaian lima perlawanan tanpa kalah Tottenham di Belanda pada abad ke-21 selain memastikan seteru mereka berkenaan terus kempunan mengecapi sebarang kejayaan dalam tiga perlawanan Eropah sepanjang 2021-22.

Nuno memilih untuk merehatkan Son Heung-min dan Harry Kane sempena perjalanan ke Arnhem itu, tetapi menolak untuk meratapi persembahan anak buahnya memandangkan mereka berdepan jadual padat yang memerlukan penggiliran pemain.




"Ini adalah satu perlawanan yang sukar. Saya rasa kami mampu bersaing dengan baik. Daripada segi serangan, saya fikir kami harus menyudahkan aksi ini dengan lebih baik. Beberapa kombinasi telah hilang," kata pengurus Spurs itu.

"Saya sedar bahawa perlawanan ini akan menjadi sukar. Saya tidak berada di sini untuk menilai pemain, saya di sini untuk mencuba dan memperbaikinya. Ia berdasarkan analisis dan penilaian yang kami lakukannya secara tertutup."

Rennes menerajui Kumpulan G dengan lima mata di depan Spurs sementara Vitesse menduduki tempat kedua dengan enam mata.

Begitupun, Nuno tetap tenang ketika dia menyarankan kebangkitan pasukannya dalam tiga perlawanan berikutnya dalam usaha menjejaki peringkat kalah mati.

"Saya fikir kami akan beraksi dua perlawanan di tempat sendiri ketika menentang Vitesse dan Rennes, kemudian kami harus bermain di Mura. Kami mampu melepasi rintangan dalam kumpulan ini," kata Nuno, sebelum mempertahankan pemain remaja, Dane Scarlett, yang bergelut ketika mereka menerapkan sistem tiga penyerang.

"Dane baru berumur 17 tahun. Ia sukar baginya tetapi ramai pemain yang pada usia itu tidak mampu merebut tempat dalam skuad utama," katanya lagi.

"Pengalaman dapat dikutip apabila dia bersaing dengan pemain profesional handalan seperti yang dilakukannya ketika melawan Vitesse hari ini."