Antonio Conte bimbang kecederaan hamstring yang dialami Cristian Romero lebih serius daripada yang disangkakan tatkala Tottenham masih menunggu keputusan imbasan kedua.

Romero mengalami kecederaan itu ketika Argentina seri tanpa jaringan dengan Brazil dalam kelayakan Piala Dunia minggu lalu dan terlepas kemenangan 2-1 kelab London berkenaan ke atas Leeds United, Isnin lalu.

Tahap kecederaannya masih tidak jelas tetapi Conte -- yang juga kehilangan Giovanni Lo Celso dan Dane Scarlett untuk bertandang ke Mura dalam Liga Persidangan Europa, Khamis ini -- tidak lagi menaruh harapan tinggi.

"Saya rasa kecederaannya agak serius. Kami perlu menunggu. Saya tidak tahu berapa lama dia akan pulih," katanya dalam sidang akhbar pra-perlawanan Rabu.

"Kecederaannya lebih teruk daripada Lo Celso dan Scarlett. Dia perlu menjalani imbasan sekali lagi, kemudian barulah doktor boleh menawarkan butiran lanjut."




Spurs menandatangani Romero daripada Atalanta secara pinjaman awal dengan perjanjian tetap yang dilaporkan berharga £35.25 juta (RM198.4j) yang boleh dimeterai pada 2022, dan pemain berusia 23 tahun itu telah membuat 13 penampilan setakat ini.

Walaupun pertahanan itu berpotensi berehat panjang, Conte masih belum memikirkan untuk membawa sebarang pengganti dalam jendela perpindahan akan datang.

“Ketika ini saya tidak memikirkan tentang Januari,” katanya.

"Perjalanan masih jauh lagi. Tetapi saya juga perlu membuat penilaian tentang pemain, keseluruhan skuad dan kemudian kita lihat kelak."

Conte akan membawa semua pemainnya yang cergas ke Slovenia untuk menghadapi Mura yang mereka tewaskan 5-1 dalam pertemuan pertama ketika di bawah kendalian Nuno Espirito Santo.

Pemain serba boleh, Ryan Sessegnon, juga berpeluang memanfaatkan kesempatan yang terhidang apabila kembali beraksi hujung minggu lalu selepas berehat panjang selama tiga bulan.

Dia dihimpit kecederaan sepanjang dua setengah tahun bersama Spurs ketika dipinjamkan ke Hoffenheim, tetapi Conte berharap pemain berusia 21 tahun itu dapat dipertaruhkan.

"Ryan mempunyai potensi yang besar. Saya pernah melihat dia mengalami kecederaan, kini kami cuba bekerja dengan cara yang tepat bersamanya," kata Conte lagi.