Gol sepakan penalti Dominik Szboszlai menamatkan rekod 22 perlawanan tanpa kalah England apabila pasukan bimbingan Gareth Southgate itu tewas 0-1 kepada Hungary dalam perlawanan Liga Negara-Negara Eropah di Budapest awal pagi tadi.

The Three Lions tidak pernah tewas melainkan dalam penentuan penalti sejak 2020 -- rekod terbaik sepanjang sejarah mereka -- tetapi terpaksa meninggalkan Budapest dengan tangan kosong dalam perlawanan kompetitif pertama mereka sepanjang tahun ini.

Gol tunggal perlawanan itu hadir menerusi sepakan penalti selepas pemain gantian, Reece James, didapati mengasari Zsolt Nagy untuk Szoboszlai menyempurnakan sepakan itu pada 24 minit terakhir, sekali gus memberikan Hungary kemenangan pertama ke atas England sejak 1962.

Perlawanan itu berlangsung secara tertutup di depan 35,000 penyokong kanak-kanak selepas Kesatuan Bolasepak Eropah (UEFA) mengenakan penggantungan penyokong ke stadium buat Hungary berikutan ejekan perkauman yang dilakukan mereka dalam Euro 2020.

Dan ejekan sekali lagi kedengaran ketika pemain England berlutut sebelum sepak mula, sama seperti yang dialami pemain mereka di Budapest tahun lalu.

Ia insiden yang paling diingati dalam perlawanan itu walaupun Hungary hampir memecahkan kebuntuan dalam babak pertama, di mana Conor Coady bertindak cemerlang mengeluarkan percubaan rendah Szoboszlai.

England tidak banyak mempamerkan peningkatan selepas waktu rehat dan hanya dapat melakukan satu percubaan menerusi Bukayo Saka sebelum mereka dihukum apabila James terpaksa memberikan sepakan penalti yang dimanfaatkan Hungary.

Jaringan itu memaksa England untuk meningkatkan permainan tetapi segala usaha mereka menjadi sia-sia selepas 90 minit untuk merelakan kemenangan bersejarah Hungary.