LEICESTER 2 NAPOLI 2

Jonny Evans mungkin mengalami kecederaan terbaru dan pengurus Leicester City, Brendan Rodgers, mendedahkan anak buahnya itu perlu dinilai.


Evans kembali ke kesebelasan utama Leicester ketika seri 2-2 dengan Napoli dalam Liga Europa, awal pagi tadi, selepas dihimpit kecederaan kaki lalu digantikan selepas rehat.

Pemain Ireland Utara itu kembali beraksi secara kompetitif buat pertama kalinya sejak kemenangan Piala FA, Mei lalu, sebagai pemain gantian dalam kekalahan 0-1 kepada Manchester City, minggu lalu.

Rodgers tidak menjelaskan secara terperinci mengenai tahap kecederaan itu tetapi mengakui Evans dalam keraguan untuk pertembungan Liga Perdana Inggeris (EPL) dengan Brighton, Ahad ini.

"Mungkin akan berlaku," kata Rodgers ketika ditanya apakah masalah itu akan menjejaskan peranan Evans dalam perlawanan berikutnya.

"Saya berasa dia berusaha keras, jadi kami akan melihat sejauh mana keadaannya dalam 24-48 jam berikutnya."

Bekas pemain pertahanan Manchester United itu membuat 28 penampilan liga musim lalu untuk The Foxes.

Leicester mendahului 2-0 ketika berdepan Napoli menerusi gol daripada Ayoze Perez dan Harvey Barnes sebelum jaringan berganda Victor Osimhen membolehkan pelawat pulang dengan satu mata.




Wilfred Ndidi turut dilayangkan kad kuning kedua dalam masa kecederaan untuk Leicester mengakhiri perlawanan itu dengan kecewa.

"Kami jelas kecewa kerana kami gagal memenangi perlawanan ini," katanya lagi.

"Kami berada di kedudukan yang hebat tetapi kami menentang pasukan yang benar-benar berpengalaman dan kami tidak dapat melihatnya. Kami akan belajar dari situ.

"Saya berkata kepada pemain, ada banyak hal baik dalam perlawanan ini. Tapi kami harus mengekalkan bola dengan lebih baik kerana pada akhirnya, apabila anda tidak menguasai begitu banyak bola dan anda mengejar permainan, maka ia boleh meletihkan anda.

"Kami memiliki beberapa pemain yang pertama kali diturunkan sepanjang 90 minit musim ini. Sebaik penyerang mereka, Osimhen, yang bernilai £70 juta (RM402.6j) ditampilkan anda boleh melihat kualitinya dan dia akhirnya meledak dua gol.

"Secara keseluruhannya, sekalipun kami gagal memenanginya walaupun berada di posisi yang baik pada satu ketika, kami perlu pastikan tidak tumpas dan ini adalah satu permulaan bagi kami. Kami masih ada sembilan atau 10 mata lagi untuk direbut."