ARSENAL 1 PSV 0

Pengurus Arsenal, Mikel Arteta, menjadikan kelayakan ke peringkat kalah mati Liga Europa sebagai "langkah pertama" berikutan kemenangan 1-0 mereka ke atas PSV dengan menetapkan misi untuk mengungguli Kumpulan A.


Tendangan voli Granit Xhaka pada minit ke-70, awal pagi tadi, memastikan The Gunners menamatkan saingan itu di kedudukan dua teratas dengan baki dua perlawanan.

Arsenal mengulangi pencapaian musim lalu apabila memenangi keempat-empat awal kempen Liga Europa dan hanya memerlukan seri dalam perlawanan timbal balik gergasi Eredivisie, minggu depan, untuk mengesahkan kedudukan pertama.

Dengan pemenang kumpulan memperoleh laluan khas ke peringkat 16 bagi mengelak jadual padat pada awal tahun kelak.

"Kami mempunyai detik-detik yang sangat baik, dan kami sangat dominan ketika bertemu sebuah pasukan yang sangat bagus," katanya kepada BT Sport.




"Saya fikir kami hanya kekurangan daripada segi hantaran akhir atau penyudah. Tetapi kami sangat gembira dapat memenangi perlawanan ini dan kami telah layak, ia merupakan langkah pertama.

"Di Eropah, anda perlu menguasai pihak lawan. Mereka berbakat besar, terbiasa dengan kemenangan dan jumlah gol yang mereka jaringkan adalah luar biasa. Kami benar-benar tenang dan matang.

"Apabila anda mempunyai peluang di Eropah, anda perlu memanfaatkannya. Jurang perbezaan di antara penamat di tempat pertama dan kedua adalah besar, jadi kami mahu menyelesaikan tugas ini."