RANGERS 2 BRONDBY 0

Steven Gerrard melabel Rangers hampir sempurna ketika mereka meraih kemenangan penting ke atas Brondby dalam Liga Europa.


Gol separuh masa pertama daripada Leon Balogun dan Kemar Roofe memastikan kemenangan 2-0 Rangers di Ibrox, awal pagi tadi, dan mata pertama buat tuan rumah dalam kempen itu musim ini.

Ia membantu pasukan kendalian Gerrard itu keluar dari dasar Kumpulan A sambil merapati kedudukan Sparta Prague yang berada di kedudukan kedua dengan kelebihan hanya satu mata.

Pengurus Rangers mengakui tekanan di pihaknya selepas memulakan kempen mereka dengan kekalahan kepada Sparta dan pendahulu kumpulan, Lyon.

Tetapi dia akhirnya gembira dengan penampilan pemainnya ketika menundukkan Brondby menerusi jaringan Leon Balogun dan Kemar Roofe pada minit ke-18 dan 30.

"Saya fikir ia adalah satu persembahan di tempat sendiri yang mantap di peringkat Eropah," kata Gerrard kepada BT Sport.

"Kami sudah mula mendapat rentak dalam Liga Europa. Dua keputusan pertama belum cukup bagus hingga mewujudkan banyak tekanan pada kami malam ini.

"Tetapi kami perlu melanjutkan prestasi dan keputusan seperti ini dalam masa beberapa minggu.

"Saya fikir peminat juga tampil hebat. Pelan permainan yang telah kami rancangkan berjaya dilaksanakan pemain.

"Ini betul-betul hampir dengan prestasi yang kami hajati.

"Kebiasaannya kami beraksi dengan baik sepanjang separuh masa pertama dan 60 minit, tetapi malam ini hampir 90 minit kami memperagakan satu persembahan sempurna."




Gerrard turut memuji penampilan Joe Aribo yang kerap mengasak juara Superliga dari Denmark itu dengan kederasan dan kekuatannya.

Pemain berusia 25 tahun itu baru-baru ini dikaitkan dengan perpindahan, lantas Gerrard mengakui berdepan kesukaran untuk mempertahankan khidmat pemainnya tersebut sekiranya dia terus berprestasi tinggi.

"Dia pemain yang hebat; dia mahu belajar dan dia mahu berkembang," tambah pengurus Rangers itu.

"Apa yang saya katakan kepada Joe adalah: 'anda seorang pemain yang jauh lebih baik ketika anda beraksi dalam keadaan marah dengan cara yang betul."