Tatkala artikel ini dikarang, kelab gergasi Sepanyol, Barcelona, dilaporkan telah membuat tawaran akhir kepada Bayern Munich untuk membeli penyerang paling berbisa di Eropah sejak beberapa musim kebelakangan, Robert Lewandowski.

"Era saya di Bayern sudah tamat. Saya tidak melihat sebarang kemungkinan untuk terus beraksi bersama kelab ini lagi," ujar Lewandowski pada hujung bulan lalu.

Sememangnya mengejutkan, tetapi jika diteliti dan didalami, ia tidaklah menghairankan.

Pertama sekali, kontrak Lewandowski bersama Bayern bakal luput tahun depan.

Memandangkan usianya akan menginjak kepada 34 pada tahun ini, kontrak jangka panjang yang ditandatangani seterusnya mungkin merupakan yang terakhir untuk kerjayanya.

Dominasi Bayern sejak kehadiran Lewandowski dari kelab seteru, Borussia Dortmund, pada 2014 sememangnya tiada tandingan.

Lewandowski telah memberikan sumbangan besar dalam merampas takhta juara Bundesliga sebanyak lapan kali dalam 10 musim, di mana dia menjadi penjaring terbanyak dalam enam musim tersebut.

Selain itu, dia telah memenangi Piala Jerman sebanyak tiga kali, Piala Super Jerman sebanyak lima kali dan paling penting, trofi Liga Juara-Juara UEFA (UCL) pada tahun 2020.

Biarpun kekuatan yang dibuktikan oleh Bayern tidak dapat dinafikan, ia turut memaparkan aspek ketidakseimbangan dalam Bundesliga yang menyebabkan liga itu gagal memberikan impak mendalam dari segi global, jauh sekali berbeza dengan Liga Perdana Inggeris, misalnya.

Meski Lewandowski terus gah di hadapan pintu gol saban musim, aspek kompetitif Bundesliga ternyata semakin merudum.

Setelah memenangi segala-gala yang boleh dimenangi, satu cabaran baru yang pastinya lebih sengit ternyata sukar untuk ditolak.

Faktor kedua, kehadiran pengurus baru, Julian Nagelsmann, menggantikan Hansi Flick.

Biarpun pengurus muda berbangsa Jerman itu disebut-sebut sebagai seorang individu berpotensi besar, laporan dari pelbagai sumber media menyatakan bahawa aspek taktikalnya diragui oleh pemain-pemain senior Bayern, dengan Lewandowski salah seorang daripadanya.


Pada musim ini, biarpun Bayern masih lagi mengekalkan takhta juara, ada kalanya mereka kelihatan goyah lalu tewas mengejut kepada kelab-kelab seperti VfL Bochum, Mainz dan sememangnya tidak boleh dilupakan, dibelasah 5-0 oleh Borussia Monchengladbach dalam perlawanan Piala Jerman.

Penting untuk diperhatikan juga, sewaktu disingkirkan oleh Villarreal di peringkat suku akhir UCL, percaturan taktikal Nagelsmann menyebabkan Lewandowski dikekang sepenuhnya dan gagal memberikan impak yang diperlukan.

Tawaran terakhir daripada Barcelona dilaporkan bakal bernilai setinggi £30 juta (RM162 juta) sebagai bayaran asas, dengan £4 juta (RM22 juta) lagi sebagai bayaran pakej tambahan.

Tidak keterlaluan jika dikatakan harga ini teramat rendah untuk penyerang paling berbisa, tetapi aspek usia Lewandowski yang sudah lanjut serta faktor kekangan kewangan daripada pihak Barcelona nampaknya memainkan peranan dalam mempengaruhi nilai akhir itu.

Daripada pihak Bayern, mereka nampaknya teramat keberatan untuk melepaskan Lewandowski pergi dan cuba untuk mengekalkannya selagi terdaya.

Namun, menurut rakan-rakan sepasukan Lewandowski, keinginannya untuk berpindah teramat membara sekali dan sebarang percubaan untuk mengekalkannya bersama pasukan hanya akan mendorong kepada aspek-aspek negatif dan kekecewaan.


Tambahan pula, dengan pembelian Sadio Mane daripada Liverpool, Bayern nampaknya telah menyediakan pengganti untuk Lewandowski dan tindakan mereka ketika ini hanyalah untuk cuba memaksimumkan harga penjualan sebaik mungkin.

Pengurus Barcelona, Xavi, sememangnya mendambakan aksi Lewandowski untuk mengetuai barisan serangan Barcelona dan meringankan tanggungjawab yang dipikul oleh Pierre-Emerick Aubameyang sepanjang musim ini, di samping meletakkan objektif untuk merampas kejuaraan La Liga daripada seteru abadi, Real Madrid, musim depan.

Berdasarkan segala laporan yang ditunjukkan, kadar kebarangkalian untuk Barcelona meraih khidmat Lewandowski adalah tinggi dan hanya waktu yang memisahkan sebelum kita menyaksikan Lewandowski menyarung jersi merah biru.