RB Leipzig amat merindui sentuhan Justin Kluivert untuk berdepan Liverpool apabila masalah kecederaannya terus menghampakan pengurus kelab Jerman itu, Julian Nagelsmann.

Pemain sayap itu menyertai Leipzig daripada Roma secara pinjaman sepanjang musim ini.

Namun, penampilan pemain berusia 21 tahun itu -- anak bekas penyerang Barcelona, ​​Patrick -- setakat ini terbatas dalam tiga aksi kesebelasan utama untuk jumlah 452 minit permainan bersama Leipzig,

Masalah pergelangan kaki menjadi kekecewaan terbaru Kluivert sejak melakukan penampilan terakhirnya pada bulan lalu selain kali terakhirnya memainkan watak utama adalah sebelum Krismas.

Sebelum dinamakan dalam barisan menentang Werder Bremen minggu lalu, Kluivert sempat merakamkan gol berturut-turut ketika bertemu Bayern Munich dan Manchester United untuk koleksi jaringannya musim ini.

Nagelsmann kagum dengan persembahan pemain antarabangsa Belanda itu dalam perlawanan tersebut dan percaya kemampuan menggelecek bola menjadi aset utamanya apabila dia muncul sebagai pemain Leipzig terbanyak yang membuat gelecekan iaitu 5.4 peratus dan menyempurnakannya 2.6 peratus dalam setiap 90 minit permainan.

Begitupun, pengurus itu sekali lagi terlepas khidmat Kluivert ketika Leipzig tumpas 0-2 kepada Liverpool dalam pertemuan pertama Liga Juara-Juara (UCL) Rabu lalu, yang menyaksikan wakil Jerman berkenaan hanya berjaya membuat 11 gelecekan selain serangan balas yang sama sekali tidak berkesan.

"Ketika kami menentang Bayern dan Manchester United, itulah Justin yang kami harapkan," kata Nagelsmann.

"Selepas itu, dia tersisih lagi.

"Dia tidak berkesempatan untuk berlatih kerap, saya tidak melihatnya dapat banyak menjalani latihan. Itulah masalahnya. Dia perlu menjadi lebih stabil daripada segi fizikalnya.

"Sejak dia berada di sini, dia amat jarang turun ke sesi latihan, oleh itu ia menjejaskan permainannya.



"Pada dasarnya dia memiliki kemahiran yang akan membuat kami menjadi lebih baik ketika melawan Liverpool. Dia menyumbang dengan baik dalam Bundesliga, seperti lariannya menyusup ke dalam kubu lawan dan kederasannya menggelecek. Dia juga adalah pencetak gol dan mempunyai naluri membunuh yang baik.

"Tetapi dia hanya perlu menjadi lebih stabil. Dia mudah dilanda kecederaan kebelakangan ini."

Leipzig dilaporkan perlu membayar lebih daripada €10 juta (RM48.9j) untuk mengekalkan pemain itu.

Nagelsmann, bagaimanapun tidak menolak kemungkinan itu tetapi ingin melihat sumbangan lebih besar daripadanya pada bulan-bulan mendatang sambil merujuk lagi mutu prestasinya ketika mengikat Bayern 3-3.