Rasa sedih, marah dan hina mengiringi tersingkirnya Leeds United daripada Liga Perdana Inggeris (EPL) pada hari terakhir musim.

Menamatkan penantian 16 tahun untuk naik ke EPL semula, bagaimana sebuah kelab sebesar ini boleh kembali ke Liga Kejuaraan selepas hanya tiga musim menikmati saingan tertinggi?

Persoalannya tidak terhenti di situ.

Bagaimana Leeds yang menduduki tangga kesembilan pada musim pertama sekembali ke EPL boleh tersisih ke zon relegasi? Ke mana sebuah kelab yang ketidaktentuan dalam soal pemilikannya, situasi pengurus dan pemainnya akan menghala selepas ini?

Jawapan-jawapannya perlu ditemukan dalam masa terdekat tapi rata-rata apa yang dirasakan ketika ini ialah sedih, putus asa dan kesempatan yang disia-siakan.

Hakikat bahawa tonggak Tottenham, Harry Kane, yang ‘membunuh’ Leeds harus bertepatan. Jika itu penampilan terakhirnya bersama Spurs, maka dia akan diingati kerana gol bergandanya dalam kemenangan 4-1 di Elland Road.

Leeds memiliki tiga pengurus musim ini dan setiap seorang telah berhempas-pulas tapi penghujungnya tetap mengecewakan.

Mereka hanya menang tujuh dan bolos 78 gol dalam 38 perlawanan – terjunan bebas yang disaksikan sejak Marcelo Bielsa dipecat 15 bulan lalu.

Seterusnya, Jesse Marsch dipecat pada Februari, kemudian Javi Gracia hanya bertahan 12 perlawanan sebelum diberi layanan serupa sambil Sam Allardyce didatangkan ketika musim berbaki empat perlawanan.

Leeds buntu kemenangan dalam sembilan perlawanan terakhir di samping menyaksikan Big Sam hanya berguna untuk satu mata daripada empat perlawanannya sebagai pengurus.

Pekikan “pecat lembaga pengarah, pecat lembaga pengarah” membingitkan suasana tapi pengerusi Leeds dan pemegang saham majoriti, Andrea Radrizzani, langsung tidak kelihatan.

Suasana pada hari perlawanan terakhir dengan penyokong menyanyikan “Marching on Together” sebelum sepak mula, membayangkan sedikit harapan yang mereka masih mampu melakukan keajaiban.

Harapan itu segera dikuburkan Kane selepas dua minit dengan merembat rendah menewaskan penjaga gol, Joel Robles.

Beberapa separa peluang datang dan pergi buat Leeds sesudah itu, termasuk rembatan Rasmus Kristensen yang sedikt melepasi palang sejurus sebelum rehat. Tapi daripada segi realitinya, Leeds kekurangan kualiti di setiap bahagian dan pertahanan terburuknya musim ini terus diranapkan dua minit selepas rehat.

Selepas Kane memecut ke hadapan, peluang tersaji buat Pedro Porro untuk menggegar jaring dengan sepakan rendah ke sudut kiri pintu gol.


“Kamu tidak layak memakai baju Leeds,” terdengar satu pekikan yang diselangi nyanyian pro-Bielsa manakala seorang peminat muda mencelah: “Jika kita diturunkan, saya harap kitab oleh mengheret Everton sama.” Cuma bezanya Everton terselamat.

Tidak lama kemudian, Kane sekali lagi menunjukkan mengapa dia salah seorang pemain terhebat dalam generasinya dengan sepakan lencong menewaskan Robles untuk jaringannya yang ke-30 musim ini.

Pada penghujungnya apabila pemain gantian, Lucas Moura, menyumbat gol keempat Spurs, ia menyimpulkan babak-babak menyedihkan buat Leeds pada petang berkenaan dan juga seluruh musim ini.