Tonggak import tengah Pahang, Saddil Ramdani, mengakui masih kekok mencari keselesaan bersama pasukannya, namun itu bukan halangan untuk dia tampil berkesan setelah menyumbat jaringan pertamanya semalam.

Walaupun masih muda, namun keyakinan pemain itu di atas padang amat melegakan pengendali skuad Tok Gajah, Dollah Salleh.

Dollah yang menggelarkan pemain dari Indonesia itu dengan jolokan Speedy Gonzalez menganggap Saddil sebagai ikon dalam pembikinan buat Tok Gajah dan keputusan mengikat kontrak selama dua musim dianggap pelaburan bijak buat Pahang.

Selepas memberi kesan yang cemerlang dalam aksi pertama, Saddil menegaskan dia belum mencapai prestasi terbaiknya memandangkan dia masih mencari keserasian dengan rakan sepasukan.

"Secara peribadi, saya masih malu dengan rakan sepasukan. Saya ingin mendapatkan keyakinan bersama pasukan dan menjadi lebih akrab. Saya memang agak malu," kata Saddil.

"Saddil memang malu. Malu tetapi mahu," tambah Dollah.

Langkah kanan Pahang dalam kempen Liga Super musim ini umpama amaran awal kepada pasukan lain, terutama melibatkan pemain import seperti Ze Love dan Dickson Nwakaeme, yang dilihat mampu mempamerkan kombinasi lebih mantap bagi tempoh masa yang lebih panjang.

"Kembalinya Nwakaeme, saya lihat memang dia menjadi idola kepada semua pemain. Masing-masing mahu mempamerkan kualiti yang dimiliki," ujar Dollah.