Presiden Lazio, Claudio Lotito, menjelaskan bahawa dia tidak pernah meletakkan pemain tengah, Sergej Milinkovic-Savic, untuk dijual walaupun boleh mempertimbangkan sebarang tawaran yang berpatutan.

Milinkovic-Savic, 23, dikaitkan dengan perpindahan ke gergasi Serie A, Juventus, selain turut menarik perhatian beberapa kelab elit Eropah seperti Real Madrid dan Manchester United.

Bagaimanapun, pemain yang dianggarkan bernilai EUR100 juta (RM472 juta) dari Serbia itu yang tampil dalam saingan Piala Dunia di Russia, kini sudah melaporkan diri untuk sesi latihan pra-musim di Itali.

Ketika ditanya mengenai Milinkovic-Savic, Lotito menjelaskan kepada RMC Sport: "Saya tidak pernah meletakkan Milinkovic-Savic untuk dijual.

"Namun, sebarang tawaran yang berpatutan akan dinilai. Mengenai kelab-kelab yang berminat, saya tidak mengambil kesempatan seperti sesetengah orang yang melakukannya.

"Selepas Juventus, Inter Milan dan AC Milan, Lazio milik saya adalah salah satu kelab paling berjaya di Itali jika dinilai menerusi trofi," ujarnya.

Milinkovic-Savic menjaringkan 12 gol dalam saingan Serie A musim lalu dan 14 jaringan untuk semua kejohanan, membantu Lazio menamatkan aksi liga di tangga kelima.