Presiden Barcelona, Joan Laporta, percaya versi Liga Super Eropah yang diubah suai boleh dilancarkan pada 2025 tanpa mana-mana penyertaan kelab daripada Liga Perdana Inggeris (EPL).

Barca, di samping Real Madrid dan Juventus, kekal komited dengan projek Liga Super itu selepas ia gagal dilancarkan pada April 2021 di sebalik sembilan kelab pengasas lain segera menarik balik sokongan mereka.

Oktober lalu, pertandingan itu dirancang akan dihidupkan apabila Ketua Eksekutif Pengurusan Sukan A22, Bernd Reichart, menjanjikan satu "format terbuka" dalam usahanya meraih sokongan berhubung cadangan berkenaan.

Kesatuan Bola Sepak Eropah (UEFA) menggelar penyokong Liga Super sebagai tamak selepas bertemu dengan Reichart pada bulan berikutnya, sambil ketua peguam bela Mahkamah Keadilan Kesatuan Eropah (CJUE), Athanasios Rantos, memberi amaran keras apabila menegaskan UEFA dan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) boleh mengambil tindakan ke atas kelab-kelab yang mengambil bahagian.

Bagaimanapun, Laporta optimis mengenai projek Liga Super itu sementara kelab yang lain berharap CJUE akan membatalkan sebarang sekatan UEFA yang tidak seiring dengan undang-undang pertandingan di Eropah.

"Pada Mac atau April ini kami akan menerima keputusan berhubung isu CJUE. Ia akan menjadi satu kenyataan yang sangat penting dan saya fikir ia akan membawa manfaat kepada kelab," kata Laporta kepada Cadena SER malam tadi.




"Liga Super akan menjadi satu kejohanan terbuka. Saya tidak akan menyertai projek ini jika pertandingan ini tidak terbuka.

"Kami mahu tadbir urus menjadi hak kelab. Saya juga berharap UEFA akan ditawarkan satu kerusi dalam tadbir urus ini. Jika resolusi yang diadakan menggalakkan, saya fikir Liga Super akan menjadi kenyataan pada 2025."