Ianya bagaikan tiada kesudahan dan ibarat penyakit yang tiada penawar. Terlalu banyak persoalan yang bermain di minda setiap peminat bola sepak tempatan dan ia semakin berlarutan. Akibatnya, pegawai pasukan dan pemain yang perlu menanggung kesannya. Apakah langkah penyelesaian yang perlu di ambil? Wartawan Astro Arena, Fadhirul Shuhaimi, merungkai penjelasan dalam laporannya.

"Kita sentiasa mengikut garis panduan atau anggaran bajet yang telah ditetapkan. Ini akan memastikan kewangan sentiasa terkawal dan tidak melakukan perbelanjaan yang berlebihan,” kata Mohd Sabri Abas, Ketua Pegawai Eksekutif Terengganu Fc.

Menurutnya lagi, setiap pasukan seharusnya mengukur baju di badan sendiri dalam menentukan supaya tidak berlaku sebarang ketirisan.

"Saya yakin semua pasukan menginginkan kejayaan tetapi kita perlu menetapkan had supaya tidak berlaku masalah yang berlarutan,” katanya.

Skrip yang sama tetap berulang setiap musim apabila sentiasa ada pasukan yang mengalami masalah tunggakan gaji hampir lebih dari tiga bulan selepas berhempas-pulas bekerja untuk majikan masing-masing.

Arip Amiruddin (Bekas Pemain Kelantan FC): "Sebagai seorang pemain bola sepak, sudah tentu kita akan memberikan segalanya kerana ia merupakan minat kami.

"Bersama Kelantan, saya merasai kekalahan hampir setiap perlawanan.

"Saya sentiasa berfikir adakah betul menjadikan bola sepak sebagai kerjaya?” kata bekas pemain Kelantan FC, Arip Amiruddin.

Fadhirul berharap badan pengelola Liga Malaysia (MFL), perlu merangka langkah drastik bagi menamatkan mimpi ngeri ini. Adakah wajar sampai masa MFL mula memperkenalkan sistem ‘Financial Fair Play' (FFP)?

Stuart Ramalingam (CEO MFL): "Antara kekecewaan yang berlaku dikala kita ingin mengubah imej liga kita ialah kesilapan yang datangnya dari beberapa buah pasukan.

"Seperti mana yang disarankan oleh Pemangku Sultan Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim, FFP wajar dilaksanakan untuk memberi kestabilkan dan menjamin kewangan setiap pasukan.

"Antara inisiatif baru yang akan kita lakukan ialah setiap pasukan perlu menghantar statement pembayaran gaji setiap dua bulan untuk MFL pantau sepanjang musim,” kata Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Stuart Ramalingam.

Setiap penyokong tidak seharusnya menanggung keperitan yang di alami oleh pasukan kesayangan. Liga Malaysia 2024/2025 sepatutnya berlangsung dengan baik supaya tidak berlaku seperti Perlis United, Kelantan FC, Melaka United dan Sarawak United yang dibebani masalah tanpa henti.