Akibat terlepas peluang untuk beraksi dalam Piala Dunia baru-baru ini, Erling Haaland nampaknya bertekad untuk meluahkan segala perasaan yang terpendam tatkala kembali beraksi untuk Manchester City semalam.

Beraksi di bandar kelahirannya, Haaland menyumbat dua gol bagi memastikan City kekal lima mata di belakang pendahulu liga, Arsenal.

“Arsenal harus diburu ketika ini, kami perlu membuktikan yang kami adalah pasukan terbaik dalam liga ini,” ujar Haaland dalam temu bual pasca perlawanan.

Dia turut mendedahkan bahawa melihat pemain-pemain lain beraksi dan menjaringkan gol dalam aksi Piala Dunia telah membakar semangat dan memberikan motivasi, namun tidak kurang juga perasaan geram kerana dia terpaksa berehat di rumah sahaja sedangkan rakan-rakan sepasukan yang lain berhempas-pulas buat negara masing-masing.

Menurut laporan akhbar The Mirror, jaringan-jaringan Haaland semalam telah meningkatkan jumlahnya kepada 20 gol dalam Liga Perdana Inggeris -- menjadikan dirinya pemain paling pantas dalam sejarah untuk mencapai angka itu.

Rekod jumlah gol paling banyak yang dijaringkan dalam satu musim Liga Perdana Inggeris dipegang oleh Andrew Cole dan Alan Shearer, masing-masing menjaringkan sebanyak 34 gol pada musim 1993-94 dan 1994-95.



Dalam temu bual bersama Amazon Prime, Shearer dengan lantangnya berkata bahawa Haaland tidak akan berhadapan sebarang masalah untuk memecahkan rekod miliknya, malah berupaya mencecah sehingga 40 gol semusim jika dia mampu terus mengekalkan prestasinya yang terkini.

“Jika ditanya apakah ciri-ciri seorang penyerang yang sempurna, Haaland adalah jawapannya.

“Dia tidak mempunyai sebarang kelemahan dan pastinya dia mempunyai sasaran jumlah gol tersendiri.

“Saya tidak terkejut jika jumlah itu adalah setinggi 40 gol sekalipun, kerana ia sememangnya mampu dicapai,” puji Shearer.

Apa yang menarik, pengurus City, Pep Guardiola, mendedahkan bahawa Haaland sebenarnya masih belum mencecah tahap kecergasan optimum gara-gara kecederaan yang dialami pada bulan Oktober yang lalu biarpun diberikan tempoh sebulan untuk berehat sepenuhnya.

Bukankah kenyataan ini merupakan sesuatu yang teramat menggerunkan buat kesemua pasukan lain?



Jika Haaland menunjukkan persembahan memberangsangkan sebegini ketika masih dalam proses untuk pulih daripada kecederaan, bagaimana pula aksinya apabila 100 peratus cergas kelak?

Dalam kesemua 15 perlawanan City setakat ini, satu-satunya detik di mana Haaland dapat dikekang dengan efektif adalah ketika menentang Liverpool hasil paduan kerjasama Virgil Van Dijk dan Joe Gomez.

Namun, harus diingat bahawa perlawanan itu adalah di gelanggang Liverpool, dan situasinya mungkin berbeza sama sekali apabila Liverpool bertandang ke Stadium Etihad kelak.

Apa yang pasti, Haaland merupakan penyerang dengan misi tersendiri dan cukup mendahagakan kemenangan di samping memecahkan rekod sedia ada.

Wajarlah untuk kesemua pihak lawan lebih berwaspada.