EVERTON 0 WOLVES 1

Pengurus Everton, Frank Lampard, perlu mencari jalan dalam usaha menyekat pasukannya daripada tergelincir ke zon penyingkiran Liga Perdana Inggeris (EPL) tetapi menegaskan mereka adalah pasukan yang lebih baik dalam separuh masa pertama ketika tewas kepada Wolves di Goodison Park.


Gol Conor Coady sejurus selepas rehat memberi kemenangan 1-0 buat pasukan pelawat bimbingan Bruno Lage itu, awal pagi tadi, dan tuan rumah menamatkan perlawanan dengan 10 pemain selepas kad kuning berganda yang dikutip Jonjoe Kenny.

Dengan hanya dua percubaan tepat ke sasaran sepanjang perlawanan dan tiada satu pun selepas rehat, Everton mengelak zon tercorot dengan perbezaan gol tetapi memiliki tiga perlawanan di dalam tangan.

Bekas pengurus Chelsea itu -- menang tiga dan tewas lima kali sejak mengendalikan The Toffees -- melabel pasukannya telah beraksi dengan baik walaupun sekali lagi pulang dengan tangan kosong.

"Saya fikir kami adalah pasukan yang lebih baik dalam babak pertama," katanya kepada BBC's Match of the Day.

"Wolves sentiasa menjelmakan permainan yang sengit. Mereka tidak banyak menghasilkan gol tetapi mereka juga tidak bolos banyak.




“Kami beraksi dengan baik tapi gagal mencetak sebarang gol dan jaringan pihak lawan banyak mengubah tempo permainan kerana kami mula menjadi gugup.

"Kami perlu bangkit dan apa yang penting ketika ini ialah kekal bersikap positif. Perjalanan masih jauh. Kami memahami hal ini.

"Lebih mudah untuk bertindak balas dengan segera dan beraksi dengan lebih baik berdasarkan kedudukan kami. Masih ada banyak perlawanan lagi untuk diharungi dan kami perlu mengekalkan kekuatan mental.

"Saya ke mari ketika kelab ini dalam prestasi buruk. Mereka sudah terbiasa dengan kekalahan dan ia bukan sesuatu yang boleh berubah dengan serta-merta.

"Kami perlu kekalkan keseimbangan dan pastikan kami terus bersatu sambil menyedari bahawa masih terdapat banyak perlawanan untuk memungut mata yang diperlukan."