Pemain tengah Liverpool, Adam Lallana, akan kembali cergas sebelum tamat bulan ini selepas mengalami kecederaan pangkal paha ketika berkhidmat bersama England.

Lallana tidak tersenarai dalam skuad kendalian Gareth Southgate itu selepas mengalami masalah dalam sesi latihan Selasa lalu.

Bakal terlepas aksi berdepan Sepanyol dan Switzerland, pemain berusia 30 tahun itu dalam proses pemulihan dan dijangka akan turun beraksi sebelum tamat bulan ini bagi saingan Liga Perdana Inggeris (EPL), Liga Juara-Juara (UCL) dan Piala EFL.

"Ia hanyalah kecederaan ringan. Saya akan kembali beraksi tidak lama lagi," katanya.

"Saya sudah kembali bersama Liverpool dan membuat persiapan menghadapi saingan domestik serta Eropah."

The Reds kini mendahului carta EPL selepas empat perlawanan, dengan Lallana hanya beraksi tiga minit sepanjang musim ini.